adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Monday, February 25, 2013

3 maut, 15 cedera bas ekspres terbabas dekat Bukit Tagar

3 maut, 15 cedera bas ekspres terbabas dekat Bukit Tagar
Keadaan bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 420.2 Lebuh Raya Utara Selatan awal pagi tadi. - Foto: Amrullah Abd.Karim

HULU SELANGOR - Tiga maut manakala 15 cedera apabila sebuah bas ekspres terbabas dan melanggar pembahagi lebuh raya di Kilometer 420.2 Lebuh Raya Utara Selatan, arah ke utara, dekat Bukit Tagar di sini, jam 3.30 pagi tadi.


Bas yang dalam perjalanan dari Skudai, Johor ke Sungai Nibong dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas.



Mereka yang maut dalam kemalangan pada pukul 3.10 pagi itu ialah Mohd Zamri Rani, 42, berasal dari Kedah, Mohd Ainul Fauzi Mohd Aman, 25, dari Simpang Renggam, Johor Baharu dan seorang penumpang wanita yang belum dikenal pasti.



Ketua Polis Derah Hulu Selangor Supt Norel Azmi dipetik Bernama berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu bas berkenaan gagal mengawal kenderaan itu sebelum melanggar pembahagi jalan.



"Bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju utara itu dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan mengakibatkan pembahagi jalan itu tertusuk ke dalam bas," katanya.



Beliau berkata, pemandu bas berkenaan cedera dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan, manakala 13 penumpang lain tidak cedera. - SinarHarian

Afdlin Shauki Dapat Hidayah Selepas Pulang Dari Gaza


Afdlin Shauki
PETALING JAYA: Pengarah dan pelakon filem Afdlin Shauki mengakui sudah berhijrah mendalami ajaran agama Islam agar menjadi Muslim yang benar-benar bertakwa.
Afdlin atau nama sebenarnya Afdlin Shauki Aksan, 42, perubahan itu berlaku selepas sebulan dia pulang dari melawat wilayah Gaza di Palestin pada Disember lalu.
"Saya tidak tahu adakah kenyataan yang saya berikan ini adalah yang tepat. Tetapi memang benar, saya sudah berhijrah.
"Apabila pulang dari Gaza, selama sebulan jiwa saya tidak tentu arah, tambah pula dengan memikirkan rakyat Palestin yang hidup susah di negara mereka.
"Kemudian, saya terus berjumpa dengan seorang ustaz yang juga merupakan delegasi Aqsa Syarif (pertubuhan bukan kerajaan, NGO) menceritakan perkara yang berlaku dalam diri. Alhamdulillahlah, perbincangan kami telah menemui jawapan di mana diri saya sendiri yang ingin menuju ke jalan Allah," katanya.
Barisan pelakon-pelakon filem Lawak Ke Der 2.
Tambah Afdlin, dia pada mulanya gusar, adakah dia patut meninggalkan dunia hiburan serta merta atau meneruskan perjuangan sebagai insan seni selepas menemui hidayah. Namun dia diberi nasihat untuk terus sambung berkarya tetapi dengan cara berdakwah pula.
"Jika dahulu, selain minat berkarya, niat menghasilkan filem lebih berunsur perniagaan dan wang, tetapi sekarang ini saya mahu memberikan mesej pengajaran pada masyarakat.
"Lagipun, jika dilihat pada filem-filem saya terdahulu, ia sememangnya sudah ada unsur pengajaran. Cuma elemen karya yang akan dihasilkan pada masa akan datang nanti lebih kepada unsur agama, Insya-Allah," ujarnya.
Beritahu Afdlin lagi, sejak mendapat hidayah, dia telah pun menghasilkan sebuah lagu untuk penyanyi Datuk Shiela Majid berbentuk ketuhanan.
Sementara itu, lakonan Afdlin bersama pelakon Harun Salim Bachik (Boboi) dapat disaksikan menerusi filem Lawak Ke Der 2 yang bakal menemui penonton di 70 pawagam di seluruh negara bermula 7 Mac depan.
Lawak Ke Der 2 diambil daripada pementasan Lawak Ke Der 2 di Istana Budaya (IB) pada tahun lalu dan dipadatkan dengan lawak-lawak terbaik yang dipersembahkan oleh kumpulan Boboi, Jozan, Harith Iskander dan Nabil. - mStarOnline

Bercinta Dengan Penerbit Bukan Laluan Zul Ariffin Dapat Peluang


Jarak usia bukan penghalang buat Gayatri menjalinkan hubungan dengan Zul Ariffin.
PETALING JAYA: Penerbit Tayangan Unggul (TU) Sdn Bhd, Gayatri Su-Lin Pillai menegaskan hubungan cintanya dengan pelakon Zul Ariffin bukan laluan mudah bagi aktor berkenaan untuk mendapatkan kontrak lakonan daripada syarikat tersebut.
Gayatri, 30-an, berkata, walaupun ramai yang menganggap hubungan cinta mereka yang terjalin sembilan bulan lalu mungkin mempunyai kepentingan peribadi di pihak Zul, namun ia tidak semudah yang disangka kerana syarikat produksi itu mempunyai prosedur yang ketat dalam pemilihan pelakon.
"Saya tidak pernah campur aduk antara kerjaya dan perasaan peribadi. Sejak tahun 1996, semua orang tahu bagaimana cara kerja saya.
"Tidak ada sebarang kompromi antara kerja dan peribadi kerana itu dua perkara yang berbeza. Dan saya serta Zul faham istilah profesional yang wujud di antara kami.
"Rasanya lagi sukar untuk dia dapat tawaran daripada TU kerana syarikat mempunyai prosedur yang sangat ketat," katanya yang juga merupakan Naib Presiden Astro Shaw.
Zul Ariffin
Pada 23 Disember lalu, Zul, 27, mengesahkan bahawa dia sedang menjalinkan hubungan cinta dengan Gayatri.
Selepas pengakuan itu, Gayatri pula sukar dihubungi media yang ingin mendapatkan kenyataan balas daripada pihaknya sehingga dikatakan cuba melarikan diri daripada memberikan sebarang komen mengenai hubungan tersebut.
Bagaimanapun, Gayatri menyangkal dakwaan kononnya dia cuba melarikan diri, sebaliknya menganggap belum tiba masanya untuk dia membuat pengakuan.
"Saya bukannya melarikan diri, cuma ia bukan waktu sesuai untuk menceritakan kisah cinta ini kepada umum.
"Bagaimanapun saya terharu dengan tindakan Zul yang mengaku cintakan saya. Apa yang dilakukannya itu sangat saya hargai.
"Dan sebagai kenyataan balasnya, benar, Zul adalah kekasih saya dan kami sedang dalam proses untuk mengenali hati budi masing-masing," ujarnya.
Gayatri turut memberitahu, jarak usianya yang lebih tua daripada Zul bukan penghalang untuk mereka menjalinkan hubungan malah tidak pernah berfikir mengenainya.
"Dia seorang lelaki yang baik, kelakar dan matang. Apabila sedih, dia selalu ada untuk menyokong dan tenangkan saya. Dan saya telah membawa Zul berjumpa dengan keluarga saya.
"Soal usia pula tidak pernah saya fikirkan sangat. Jika sesuai dengan seseorang dan serasi usia bukan satu masalah yang besar. Lagipun sekarang sudah ramai lelaki berkahwin dengan wanita lebih usia, bukannya sesuatu yang pelik," katanya. - mStarOnline

Pembantu rumah ditahan reman

Pembantu rumah ditahan reman
Suspek (tengah) menutup mukanya menggunakan tudung ketika di Mahkamah Majistret di sini, semalam.
KOTA BHARU - Akibat mendera anak majikan, seorang pembantu rumah warga Indonesia ditahan reman selama empat hari bermula semalam, bagi membantu siasatan polis berhubung kejadian terbabit di Jalan Bayam di sini.

Tindakan wanita berusia 41 tahun itu disedari majikannya sejak 5 bulan lalu selepas melihat kesan lebam-lebam di badan anak perempuan bongsunya, yang berusia setahun tiga bulan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, wanita terbabit yang mula diambil bekerja melalui ejan yang sah sejak 2009 lagi, disambung kontrak bekerja memandangkan sikap rajinnya melakukan kerja-kerja rumah dan akan tamat kontrak Oktober tahun ini.

“Majikannya hanya sedari anaknya didera pembantu rumah itu selepas melihat kesan lebam di badan anaknya, lalu bertanya kepada wanita terbabit namun dia memberi alasan kanak-kanak itu terkena bucu meja ketika bermain.

“Curiga dengan penjelasan itu, majikannya pada malam kelmarin mengambil keputusan memasang kamera video digital untuk disorokkan dalam bilik pembantu rumahnya.

“Tindakannya itu didorong selepas melihat aksi rakaman bayi berusia empat bulan didera pembantu rumah di Kuantan yang disiarkan dalam televisyen baru-baru ini,” katanya.

Azham berkata, kira-kira jam 10.30 malam selepas balik dari luar, pasangan itu masuk ke dalam bilik mendapatkan kedua-dua anak mereka dan dalam masa yang sama mengambil semula kamera video yang disorokkan dalam bilik.

“Mereka terkejut bila melihat rakaman itu, dengan aksi wanita terbabit yang sedang menjahit manik di baju sambil mencubit, malah memperlakukan anak mereka dengan kasar selepas dia merengek," katanya.

Tindakan pasangan suami isteri itu berjaya merakam aksi pembantu rumah mereka itu yang melakukan penderaan terhadap anak mereka yang turut ditinggalkan bersama abangnya, berusia dua tahun.

Bagaimana pun,  abangnya itu tidak diapa-apakan oleh wanita itu.

“Pasangan itu membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu dan pembantu rumah itu ditahan pada malam itu juga,” katanya.

Azham berkata, kes terbabit disiasat di bawah seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak. - SinarHarian

Dipukau tengah pekan

Dipukau tengah pekan
Dayang Suhana menunjukkan beg tangan mengandungi dompet berisi wang RM30 yang terselamat dalam kejadian pukau, petang kelmarin.

ALOR GAJAH - Dengan menggunakan taktik berpura-pura tanya lokasi, dua penjenayah bertindak menyamun seorang ibu tunggal, dipercayai menggunakan ilmu pukau.

Kejadian berlaku di pekan Pulau Sebang, dekat sini, kelmarin, apabila mangsa, Dayang Suhana Muhammad, 34, dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas memasukkan wang di sebuah bank sebelum didatangi dua lelaki bertanyakan lokasi sebuah kedai buku.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 petang itu, salah seorang lelaki menunjukkan sekeping kertas putih tertulis 'Kedai Buku Rahimi' dan bertanya sama ada mangsa tahu kedai berkenaan.

"Saya kata, saya tidak tahu (lokasi kedai itu) dan tiba-tiba rasa seperti khayal, walaupun masih mendengar perbualan mereka.

“Kedua-dua mereka ada berkata ‘kalau tak jadi, kita pergi tempat lain’. Saya tak faham apa maksud lelaki itu tanpa saya sedari telah mengikutnya ke sebuah kedai makan,” katanya.

Dayang Suhana berkata, dia langsung tidak mengingati apa yang berlaku sebelum tersedar 30 minit kemudian.

"Ketika itu, saya lihat jam di tangan kiri sudah hilang. Selepas itu, saya dapati gelang di tangan kanan, rantai leher dan cincin juga hilang.

"Saya macam tak percaya semua itu hilang dan menyangka tercicir di tengah jalan. Bagaimanapun, beg tangan yang mengandungi dompet berisi RM30 tidak terusik," katanya.

Dalam keadaan panik, katanya, dia cuba bertanya kepada seorang pekerja sebuah kedai dan mendakwa melihat saya bersama dua lelaki tadi.

Berikutan kejadian itu, dia yang kerugian kira-kira RM6,000 membuat laporan di balai polis berhampiran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, polis sedang menyiasat kes berkenaan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya di sini, semalam. - SinarHarian

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu