adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Wednesday, March 13, 2013

Rakan ditetak lepas perjanjian gila

Mangsa yang parah ditetak dengan parang.
Mangsa yang parah ditetak dengan parang

ALOR GAJAH - Seorang bekas banduan melakukan perjanjian gila dengan membenarkan rakannya mengadakan hubungan sulit dengan isterinya sendiri.

Lelaki berusia lingkungan 30-an itu membuat perjanjian itu selepas isterinya melahirkan anak luar nikah yang kini berusia lima tahun, hasil hubungan sulit dengan rakannya itu ketika dia menjalani hukuman penjara selama tujuh tahun.

Mengikut perjanjian mereka, rakannya itu dibenarkan berjumpa isteri dan anaknya, pada sebelah siang sahaja.

Bagaimanapun, perjanjian tersebut memakan diri apabila rakannya melanggar syarat itu.

Akibatnya mereka bergaduh hingga membawa kepada pertumpahan darah, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, bekas banduan terbabit naik angin dan menetak rakannya dengan parang di rumahnya di sebuah taman perumahan, dekat sini, apabila mendapati rakannya itu berjumpa isterinya untuk melakukan hubungan seks pada sebelah malam.

Menurut sumber, rakan lelaki berkenaan datang ke rumahnya pada sebelah malam dalam keadaan mabuk, sambil membawa parang.

“Kedatangan rakannya itu menyebabkan bekas banduan berkenaan berang sehingga berlaku pergelutan menyebabkan parang yang dibawa rakannya terlepas. Bekas banduan itu kemudian merampas parang berkenaan lalu menetak kepala rakannya dan melibas di leher.

“Pergaduhan itu menyebabkan jirannya terjaga apabila terdengar bunyi hentakan pada dinding dan jeritan kuat, sebelum bertindak menghubungi polis," katanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, rakan lelaki itu yang cedera parah, dihantar ke Hospital Alor Gajah oleh anggota peronda polis, sebelum dirujuk ke Hospital Melaka.

"Mangsa cedera parah menerima sembilan jahitan di kepala, selain tujuh jahitan di leher. Lelaki yang menetaknya sudah ditahan polis dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya. - SinarHarian


Dua maut van terjunam ke sungai

Dua maut van terjunam ke sungai
Anggota Bomba dan Penyelamat serta anggota JPA mengeluarkan mayat mangsa dari sungai selepas van dinaiki mereka terjunam ke dalam Sungai Bonus hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki dan wanita maut selepas van dinaiki mereka terjunam ke dalam Sungai Bonus di KM 8.1 dekat Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) di sini hari ini.Kejadian kira-kira 2 petang itu berlaku apabila van yang dipercayai dipandu laju terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh besi penghadang dan terjunam ke sungai.

"Akibatnya, van yang dipandu G. Logesvaran, 21, dan G. Nirmaladevi, 41, yang merupakan penumpang maut di tempat kejadian," kata Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur DSP Abdullah Roning ketika dihubungi Bernama.

Bagaimanapun, kaitan antara kedua-dua mangsa belum dapat dipastikan.Beliau berkata mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dua jentera bomba dengan bantuan Jabatan Pertahanan Awam dilihat berada di lokasi kejadian untuk mengeluarkan mayat mangsa. - Bernama

Wednesday, March 6, 2013

Bunuh Suami, Polis Sahkan Tahan Penyanyi Nouri


Nouri pernah merangkul anugerah Artis Baru Wanita Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 1999.
PETALING JAYA: Seorang suspek iaitu penyanyi tahun 1990-an Nouri Ramli telah ditahan polis berhubung kematian suaminya yang dipercayai mati selepas bergelut dalam kejadian di kondominium Ampang Utama, dekat sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin yang mengesahkan perkara itu berkata, Nouri bersama dua anak saudaranya telah ditahan pada pagi Rabu dan di reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membantu siasatan.
"Kami menahan wanita itu di rumahnya pagi tadi (Rabu) dan tidak dapat dipastikan berapa lama dia akan di reman.
"Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Rabu.
Akhbar pada Rabu melaporkan seorang penyanyi wanita telah memukul suaminya sehingga mati kerana tidak mahu suaminya itu bertemu dengan anak perempuan mereka yang berusia setahun.
Gambar kenangan Nouri bersama suaminya.
Mangsa, Khairul Azmi Jaafar, 39, mati dipercayai selepas dibelasah dalam keadaan kaki dan tangan terikat.
Kejadian ini dipercayai terjadi sekitar pukul 5 petang Selasa apabila berlaku pertengkaran melibatkan mangsa dan isterinya berhubung perebutan anak.
Dalam kejadian, Nouri, 39, dipercayai sengaja mengikat tangan dan kaki suaminya dengan bantuan dua anak saudaranya sebelum mangsa pengsan dalam sebuah bilik dan meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung kerana pergelutan dan kekasaran.
Penyanyi wanita itu juga dikatakan sudah tidak tinggal sebumbung dengan mangsa sejak setahun lalu dan mereka juga dalam proses perceraian.
Nouri pernah popular dengan lagu Hadirmu Yang Terakhir dan turut memenangi anugerah Artis Baru Wanita Terbaik, Anugerah Industri Muzik (AIM) pada tahun 1999. - mStarOnline

Tuesday, March 5, 2013

Pengarah Hospital Taiping ditetak staf kecewa


IPOH -  Akibat tidak berpuas hati kerana diarah berpindah ke unit lain, seorang lelaki bertindak menetak Pengarah Hospital Taiping sehingga parah menggunakan sebilah parang sepanjang dua kaki hari ini.

Dalam kejadian pada 11.20 pagi di hospital berkenaan, Dr Mohd Yassim Abdul Rahman cedera di badan, kepala dan tangan selepas cuba menahan asakan serta tetakan oleh seorang petugas di Jabatan Pengimejan dan Diagnostik hospital itu yang berusia 53 tahun.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping DSP Leong Wen Yew berkata, kejadian berlaku ketika pengarah itu pergi ke pejabat suspek untuk menemuinya dan mereka dipercayai bergaduh kerana suspek diarah berpindah ke unit lain dan diminta mengosongkan pejabat unit sedia ada.

Akibat tidak berpuas hati, suspek beredar dari situ dan kemudian datang semula membawa sebilah parang sebelum menetak mangsa di ruang legar berhampiran Unit CT Scan hospital berkenaan, katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata pengarah itu yang dipindahkan ke Hospital Selayang, Selangor untuk rawatan lanjut pada pukul 1 tengah hari turut mengalami patah tulang lengan.

Keadaannya dilaporkan stabil. Wen Yew berkata, polis percaya parang itu telahpun disediakan lebih awal kerana difahamkan ketegangan antara mereka terjadi sebelum berlaku insiden hari ini.

Suspek melarikan diri sebaik sahaja kejadian itu berlaku dan sehingga kini belum dapat dikesan walaupun polis menjejaki suspek di rumahnya, katanya.

"Kami meminta suspek menyerahkan diri kepada polis. Kami percaya suspek tidak pergi jauh," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata atau benda berbahaya lain yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda atau sebatan. - Bernama

Jeslina & Dion Sah Cerai Talak Satu


Jeslina dan suaminya, Dion sah bercerai talak satu pada pagi Selasa di Mahkamah Tinggi Syariah.
KUALA LUMPUR: Penyanyi Jeslina Hashim, 36, sah bercerai talak satu dengan Dion Andrew Vercoe, 40, pada pukul 9.55 pagi di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, pada Selasa.
Lafaz cerai tersebut dilakukan oleh Dion di hadapan Hakim Syarie, Mohammad Abdul Karim Wahabdi bawah Seksyen 47, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (Kebenaran Penceraian Secara Baik).
Penyanyi lagu Ku Intai Cinta Dalam Rahsia itu turut mengaku berada dalam keadaan suci sebelum lafaz dibuat.
Terdahulu, peguam syarie yang mewakili Dion iaitu Mohd Hafiz Abdul Rashid memaklumkan kepada mahkamah kedua-dua pihak setuju dengan perjanjian penyelesaian berkaitan hak penjagaan anak, mutaah dan hadanah tanpa sebarang pertikaian.
Sementara itu, Mohd Hafiz yang ditemui di luar mahkamah memberitahu kedua-dua pihak bersetuju untuk hak penjagaan bersama terhadap dua anak mereka.
Dion dan Jeslina bersetuju dengan perjanjian hak penjagaan dua anak mereka selain mutaah dan hadanah.
"Proses penceraian berjalan lancar dengan kedua-dua pihak bersetuju terhadap perjanjian yang dibuat.
"Anak-anak akan tinggal di bawah jagaan bekas suami di Mont Kiara, namun Jeslina diberi hak lawatan," katanya.
Nafkah sebanyak RM8,333 selama 18 bulan akan diberikan kepada Jeslina, sementara RM5,000 sebagai wang edah.
Dalam pada itu, Jeslina yang berbaju kurung datang ke mahkamah secara berasingan enggan mengulas lanjut sebab penceraian tersebut.
"Punca penceraian adalah hal peribadi antara kami dan maaf saya tidak boleh berkongsi," katanya.
Jeslina dan Dion telah berkahwin pada 21 April 2005 dan mempunyai dua orang anak berusia tiga dan enam tahun.
Pada 20 Februari lalu hasrat Jeslina untuk bercerai secara baik dengan suaminya, di Mahkamah Rendah Syariah di sini terpaksa ditangguhkan ekoran wanita itu dalam keadaan tidak suci (haid). - mStarOnline

Yasin Sulaiman Kesal Terima Ugutan Bunuh Di YouTube


Yasin (kiri) dan Yusmadi menunjukkan bukti ugutan bunuh yang diterima menerusi laman YouTube.
PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman memberi amaran kepada pengunjung laman sosial agar tidak sewenang-wenangnya meninggalkan komen berunsur ugutan dan fitnah terhadapnya sebelum dia mengambil tindakan undang-undang.
Yasin, 39, berkata, ugutan bunuh yang diterimanya menerusi laman YouTube selepas memuat naik lagu nyanyiannya berjudul Reformasi adalah bukti ada pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan medium sosial tersebut untuk mengugut.
"Perselisihan pendapat adalah perkara biasa malah saya sebelum ini pernah menerima pelbagai pandangan negatif. Namun ugutan bunuh adalah perkara serius.
"Saya tidak pasti sejauh mana seriusnya ugutan yang dibuat tetapi saya tidak akan berdiam diri jika ia berterusan selepas ini," jelasnya kepada pemberita di pejabatnya di Kota Damansara di sini pada Selasa.
Antara komen yang diterima oleh Yasin daripada pengunjung laman sosial itu.
Yasin menerima mesej ugutan menerusi akaun YouTube miliknya selepas dia memuat naik lagu Reformasi nyanyiannya yang dicipta khas bersempena Konvensyen Pakatan Rakyat ke-4 yang berlangsung pada 25 Februari lalu.
Mesej berkenaan yang ditulis oleh individu bernama ‘Azzali Abdul Aziz’ antara lain mengugut untuk memijak-mijak penyanyi itu sehingga lumat manakala 'Pencinta Muzik’ pula bekata Yasin patut dibunuh.
Dalam pada itu, Yasin berkata, buat sementara waktu dia tidak bercadang untuk membuat sebarang laporan polis terhadap dua individu tersebut sebaliknya mahu menyampaikan mesej supaya mereka dan sesiapa sahaja menghentikan budaya tidak sihat itu daripada terus berleluasa.
Turut hadir peguamnya, Yusmadi Yusoff.
Tambah Yasin, sebagai seorang rakyat Malaysia, dia tidak membuat sebarang kesalahan sehingga dikecam sedemikian rupa sebaliknya hanya meluahkan perasaan menerusi lagu.
"Tidak kira daripada parti mana sekali pun budaya mencaci, menghina dan mengugut tidak sepatutnya berlaku dan keadaan ini jika dibiarkan akan berterusan.
"Saya tidak berhasrat untuk mengambil tindakan buat masa ini cuma ingin memberi kesedaran kepada masyarakat di luar sana supaya berhenti daripada melakukan perkara yang tidak sihat seperti itu," jelasnya.
Penyanyi itu turut menegaskan dia tidak terlibat dalam mana-mana parti politik sebaliknya hanya dilantik sebagai duta Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada 18 Februari lalu.
Jelas Yasin, dia bersetuju menjadi duta AMK kerana menyokong perjuangan parti itu namun memberitahu tidak berminat untuk bergiat aktif dalam dunia politik. - mStarOnline

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu