adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Tuesday, December 24, 2013

Laporan Bank Dunia dedah prestasi pelajar Malaysia merosot akibat sistem berpusat

Laporan Bank Dunia dedah prestasi pelajar Malaysia merosot akibat sistem berpusat
Sistem pendidikan Malaysia yang berpusat dalam mengawal pengambilan dan rancangan perbelanjaan menyumbang kepada prestasi buruk pelajar dalam pengajian mereka, kata laporan Bank Dunia hari ini.
The Wall Street Journal melaporkan Kementerian Pendidikan menetapkan perbelanjaan, pengambilan tenaga pengajar, sukatan pelajaran dan buku teks sementara maklumat umum prestasi sesebuah sekolah sukar untuk diakses.
"Sekitar 65% daripada pengambilan guru dilakukan oleh kerajaan dan bukannya sekolah itu sendiri, berbanding dengan hanya 5% di Korea Selatan, di mana sekolah-sekolah awam mempunyai lebih autonomi," kata laman berita tersebut yang memetik laporan Bank Dunia.
Pengarah Bank Dunia Asia Tenggara, Ulrich Zachau, berkata ibu bapa sukar untuk memberi maklum balas kepada pengurusan sekolah dan dengan mengambil kira faktor tersebut, sekolah menjadi kurang bertanggungjawab.
Kedudukan terbaru Malaysia dalam Program Penilaian Antarabangsa Pelajar (Pisa) sangat buruk, berada pada kedudukan 52 daripada keseluruhan 65 negara yang dikaji selidik.
Pelajar yang berusia 15 tahun diuji dalam matematik, sains dan membaca.
Berada di kedudukan tiga belakang, Malaysia jauh ketinggalan dengan kedudukan Singapura yang berada di tangga ke-2 malah negara berpendapatan rendah, Vietnam berada di tangga ke-17 lebih baik daripada Malaysia.
Laporan Bank Dunia juga menyatakan walaupun terdapat bilangan guru yang mencukupi di Malaysia, ibu bapa berpendapat kualiti pengajaran adalah suatu yang perlu dibahas.
Ibu bapa mendakwa guru tidak komited dalam tugas mereka, memetik contoh guru yang lebih asyik dengan telefon bimbit mereka daripada mengajar pelajar semasa waktu kelas.
Bagaimanapun, guru pula mempertahankan diri mereka dengan berkata, ia adalah tidak adil melabelkan guru sebagai tidak komited.
"Guru mengamalkan kaedah berbeza dalam mengajar pelajar," kata Adele Phang, seorang guru yang dipetik berkata dalam laporan The Wall Street Journal.
Ibu bapa juga bimbang terhadap dasar kerajaan yang berpatah balik antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran matematik dan sains.
"Kerajaan sering beralih dalam dasar pendidikan, seperti beralih kepada Bahasa Malaysia daripada Bahasa Inggeris, ia hanya menambah kekeliruan dalam sistem yang sudah kelam-kabut," kata laporan tersebut yang memetik Sarah-Jane Thomas, ibu tunggal di Ipoh.
Dalam usaha untuk memperbaiki sistem pendidikan, kementerian memperuntukkan sejumlah besar wang dalam Pelan Induk Pendidikan Negara dan mensasarkan untuk memperbaiki kualiti pendidikan di Malaysia.
Rangka pelan tindakan tersebut bertujuan mengalihkan pandangan agar rakyat Malaysia mula melihat pendidikan sebagai kerjaya profesional serta memberikan lebih autonomi kepada pejabat pendidikan negeri dan daerah. Ia juga berharap untuk menggalakkan penglibatan ibu bapa dan masyarakat dalam sistem pendidikan.
Kementerian pendidikan juga memperuntukkan RM54.6 bilion dalam Bajet 2014, peruntukan paling tinggi dalam mana-mana bidang.
Memetik "keperluan segera untuk mengubah sistem pendidikan Malaysia", laporan Bank Dunia berkata, pendidikan di dalam negara gagal menjalani pembaharuan yang diperlukan bagi memenuhi permintaan untuk melahirkan kumpulan berkemahiran profesional.
"Saya berpendapat dalam mana-mana negara, agenda pemulihan kualiti pendidikan adalah rancangan jangka masa panjang, ia tidak boleh berlaku sekelip mata," kata Zachau.
Tetapi, Malaysia juga menghadapi isu banyak tenaga kerja di dalam negara yang berhijrah untuk bekerja di luar, dan agensi pengambilan pekerja Kelly Services melaporkan hampir 20% tenaga kerja berpendidikan tinggi meninggalkan negara untuk bekerja di negara yang mempunyai kedudukan ekonomi lebih kukuh.
Ia menyebabkan Malaysia kurang berdaya saing dengan dengan negara jiran Singapura, yang merupakan sebuah negara berpendapatan tinggi dan mempunyai banyak profesional. - 24 Disember, 2013.- The Malaysian Insider

1 comment:

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu