adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Thursday, January 16, 2014

OKU disamun, dibunuh kejam

OKU disamun, dibunuh kejam
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Trengganu untuk bedah siasat
MARANG – Seorang warga emas OKU, Tengku Enon Tengku Muda, 68, yang bergerak menggunakan kerusi roda, maut setelah lehernya dijerut paip air dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Baru Sungai Kerak, di sini, semalam.

Penemuan mayat itu turut menjawab kebimbangan jiran terdekat apabila mangsa tidak keluar dari rumah ke surau berdekatan untuk solat Subuh dan Zohor seperti kebiasaan dilakukannya pada setiap hari.

Mayat yang lengkap berpakaian dan dalam keadaan meniarap itu ditemui dalam bilik air kira-kira jam 2 petang selepas jiran terdekat meminta bantuan anaknya untuk meninjau keadaan di dalam rumah mangsa.

“Makcik berasa curiga kerana Mok Ku (mangsa) tidak pergi ke surau untuk solat Subuh dan makcik jadi lebih bimbang apabila dia juga tidak ke surau untuk solat Zohor seperti biasa.

“Makcik kemudian ke rumahnya dan mendapati pintu hadapan serta belakang tidak berkunci, lalu memanggil namanya namun tiada jawapan. Makcik takut hendak masuk lalu menyuruh budak-budak pergi tengok.

“Setelah mereka masuk ke dalam rumah dan memeriksa, budak-budak tu lihat Mok Ku dalam keadaan meniarap di bilik air lalu berlari keluar kerana takut,” katanya yang hanya mahu dikenal sebagai Mak Ngah, semalam.

Pada awalnya, Mak Ngah menyangka Tengku Enon hanya rebah dan pengsan lalu menghubungi pihak berkuasa sebelum sepasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Marang tiba untuk membuat pemeriksaan.

Bagaimanapun, kejadian itu kemudiannya dimaklumkan kepada polis selepas mendapati mangsa sudah meninggal dunia dalam keadaan lehernya dijerut dengan menggunakan paip air.  

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, polis akan mendapat maklumat terperinci setelah bedah siasat selesai dan setakat ini, pihaknya percaya motif kejadian adalah samun dan bunuh.

“Buat masa ini masih di peringkat awal, kita percaya motif kejadian ini adalah samun dan bunuh kerana beberapa barang kemas serta telefon bimbit tiada bersama mangsa,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dalam pada itu, polis tidak menolak kemungkinan mangsa yang lumpuh kedua-dua belah kaki dan tinggal berseorangan, dibunuh kejam suspek dikenalinya, namun masa kejadian sebenar masih belum diketahui sehingga bedah siasat selesai.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - SinarHarian

No comments:

Post a Comment

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu