adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Sunday, October 19, 2014

Ragut: Dua mahasiswi UiTM cedera


Nurshara menunjukkan luka yang dialaminya selepas dihimpit peragut dalam kejadian itu.
KUANTAN - Dua sahabat karib cedera selepas motosikal mereka dihimpit peragut ketika dalam perjalanan ke kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka, pagi kelmarin.

Ketika kejadian kira-kira jam 8.15 pagi itu, Nurshara Arishah Samsuri, 21 keluar dari rumah sewa di Taman Jengka Mahkota dengan membonceng motosikal rakannya, Suhaila Abdul Samad, 22, untuk ke kelas yang bermula jam 8.30 pagi.

Secara tiba-tiba mereka didatangi seorang lelaki berkulit cerah dan bertopi keledar yang menunggang motosikal berwarna merah putih lalu meraba bahagian dada Nurshara sebelum menarik beg yang diletakkan di bahagian tengah.

Mahasiswi Jurusan Pengurusan Pejabat itu terkejut dan sempat menjerit namun malangnya Suhaila, yang juga dari jurusan sama gagal mengawal motosikal.

Nurshara berkata, akibatnya, motosikal itu terbabas dan kedua-dua mereka jatuh ke sebelah kanan jalan.

“Saya tergolek beberapa kali sebelum tersembam di bahagian tengah jalan raya manakala Suhaila terjatuh tidak jauh dari motosikal,” katanya.

Akibat daripada hentakan kuat, Nurshara mengalami luka di bahagian lutut, tangan, bahu, jari dan siku kiri tetapi malang bagi Suhaila yang terpaksa menerima beberapa jahitan di atas mata dan patah tangan kiri.

“Nasib saya baik tiada kenderaan yang melalui jalan berkenaan, jika tidak mungkin dirempuh kerana jalan berkenaan berdekatan selekoh.

Menurutnya, dalam samar-samar matanya yang hampir pitam, dia nampak peragut itu membuat pusingan U dan lalu di hadapannya.

“Tapi saya bersyukur, sebuah kereta Pensyarah yang dikenali melalui kawasan itu lalu menghubungi ambulans dan memberi bantuan sementara kami di hantar ke Hospital Jengka ” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Bagaimanapun, katanya, Suhaila dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh untuk rawatan lanjut.

Katanya,  dia dimaklumkan rakan-rakan bahawa keadaan Suhaila semakin pulih tetapi tetap trauma dengan kejadian itu.

Nushara juga mengakui, sehingga kini, dia masih takut dengan kejadian itu dan akan terus berpindah ke asrama apabila pulang ke kolej selepas menghabiskan cuti sakit selama dua hari.

Menurutnya, rakan serumah mereka pernah menjadi mangsa ragut apabila dikejar dan dua peragut di lokasi sama.

“Saya rasa sudah tidak selamat berada di luar kampus. Mungkin peragut sudah memerhati kelibat kami setiap hari melalui jalan itu dan mereka berani bertindak walaupun seorang diri.

“Kami sebenarnya tidak mempunyai wang, hanya kotak pensil dan nota sahaja tapi bimbang dengan keselamatan kerana mereka boleh bertindak di luar kawalan termasuk mencederakan mangsa,” katanya.

Nurshara membuat laporan polis kira-kira jam 11.40 pagi di Balai Polis Jengka selepas dua jam menerima rawatan.
- Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu